Friday, October 24, 2008

Kenali Kami


Nama Mohd Ieruwan Mohamed Mokhtar
Nama Panggilan Iewan
Keturunan berdarah campuran Jawa dan Kelantan
Berasal dari Ampang, Selangor Darul Ehsan
Berumur 25 tahun
Status Bujang
Lulusan Dip in IT & Islamic Studies Jamiah Islamiah Sultan Ismail Petra
Pelajar Tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam
Major Pengajian al-Quran
Universiti Malaya Kuala Lumpur






Nama Abang Marsal Abang Karim
Panggilan Manja Abg Masel
Berasal dari negeri Sarawak Bumi Kenyalang
Berumur 24 tahun
Status Bujang
Lulusan Matrikulasi Pengajian Islam Nilam Puri
Pelajar tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam
Major Pengajian al-Quran
Universiti Malaya Kuala Lumpur












Nama Mohd Yusri Maimon
Panggilan Manja Abe Yus
Berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang Kelantan Darul Naim
Berumur 23 tahun
Status Bujang
Lulusan STPM
Pelajar Tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Major Pengajian al-Quran
Universiti Malaya Kuala Lumpur










Salam Perkenalan dari kami...
Bakal Guru al-Quran...

Nabi SAW pernah bersabda :
"Sebaik-baik di kalangan kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." Hadis riwayat Bukhari

Monday, October 20, 2008

Sajak Buat Guru

.: Guru Budiman :.

Engkau laksana pelita di tengah malam
menyala terang dalam kegelapan
memberi sinar dalam hidupku
rela berkorban setiap waktu.

Engkau kenalkan kami bintang harapan
yang tinggi di angkasa lambang perjuangan
pahit dan getir menjadi cabaran
semangat waja telah engkau tanamkan
gigih berjuang menempuh dugaan.

Budi dan jasamu tidak terkira
emas permata bukan bandingan
kerana lidahmu menitiskan pengorbanan
kerana bicaramu mengutus kemuliaan
kebijaksanaanmu memancarkan harapan.

Engkau laksana lilin di tengah malam
membakar diri menyinar kegelapan
Engkau laksana perabu di tengah lautan
membawa muatan menuju pulau kejayaan.

Engkau tak pernah meminta sebarang balasan
sekalipun hidupmu penuh sengsara
kepadamu guruku semua
kepada llahi kami berserah
untuk membalas jasamu kami berpasrah.


e-One el-Mukhtary
Kuala Lumpur
2008

Erti Seorang Guru


GURU PEMBINA MASYARAKAT BERAKHLAK MULIA
Oleh: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady
Kertas kerja dipetik dari Kertas Panduan Kursus Ketrampilan Pensyarah Pendidikan Islam Institut/Maktab Perguruan Malaysia - 22-26 Julai 1996

Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan ilmu dalam masyarakat. Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dalam masyarakat. Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.


Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.


Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat. Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia. Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant. Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.


Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.


Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.


Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.


Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.


Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.


Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.


Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw. dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud: Sesungguhnya tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)


Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral. Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut, kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi masyarakat.


Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai.


Dalam peradaban Islam, ulama dan guru yang mempunyai fungsi menjayakan budaya ilmu dalam Islam berpandukan keimanan dan ketaqwaan. Mereka juga menjayakan kemahiran untuk umat, dengan itu golongan yang diajar menjadi umat yang unggul, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Mereka menjadi ustazaul'alam. Dengan ini manusia mendapat hasanah di dunia ini dan hasanah di akhirat.


Tugas utama bagi guru ialah membentuk pandangan hidup yang betul dalam bentuk akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Pandangan hidup ini mengajar manusia hubungan yang betul dan tepat sesama manusia, Tuhan, alam dan kehidupan serta pengabdian manusia kepada Tuhan. Manusia menyempurnakan hidupnya di dunia demi untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam alam yang kekal abadi. Masalah pandangan hidup dan akidah adalah masalah pokok.


Pandangan hidup inilah yang mendominasi manusia Nusantara sejak dulu hingga sekarang. Pandangan ini perlu diperjelas dan dijayakan. Dengan itu manusia Muslim menjadi orang yang mempunyai pegangan yang betul dan tepat mengenai Tuhan, Nabi dan Rasul, sahabat, alam malaikat, wahyu, alam akhirat serta qada dan qadar. Mereka terelak daripada kepalsuan rohaniah dan akliah yang datang daripada pegangan sesat dalam bentuk klasik atau moden.


Tugas guru juga ialah membantu dan mendidik manusia menjayakan hidup rohani yang sebenarnya supaya kehausan mereka dalam bidang ini dipenuhi dan mereka menjadi orang yang sihat dari segi perjalanan rohaninya dan tidak terpedaya dengan amalan rohani atau ajaran pseudospiritual yang pelbagai ragaam.


Guru juga bertanggungjawab mendidik murid mengenal dan menghayati nilai kebenaran, kebaikan, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar dalam konteks memandang insan sebagai khalifah Allah dan hambaNya.


Nilai kebenaran, keadilan, keindahan, amanah, keberanian, perjuangan, ihsan, itqan dan seterusnya, menjadi ciri hidup yang unggul dan penuh bererti, diterapkan dalam peribadi, keluarga dan masyarakat serta peradaban.


Guru juga bertanggungjawab membentuk hidup berdisiplin berdasarkan syariat Ilahi serta aturan berdasarkan syariat itu. Dengan ini, disiplin menyeluruh wujud dalam peribadi, keluarga, masyarakat dan budaya. Tugas guru juga untuk mendidik murid mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam bidang yang diperlukan. Dengan itu mereka boleh berdikari dalam hidup. Mereka adalah harta kepakaran bagi umat Islam. Ini bersesuaian dengan maksud ayat al-Quran: Dan bersiap sedialah kamu bagi menghadapi mereka (musuh). (al-Anfal.61)


Guru juga bertanggungjawab, serta pihak lain dalam masyarakat, untuk membentuk budaya ilmu dalam masyarakat. Dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang memimpin manusia dalam akidah, ilmu, kemahiran dan budaya. Dengan kesungguhan umat dalam usaha yang diredhai Allah, cita-cita ini akan tercapai. Bagaimanapun, guru perlu memberi kesedaran kepada murid supaya mereka tidak tenggelam dalam slogan hidup mewah dan berfikiran mudah. Mereka hanya mementingkan barangan mahal tetapi fikiran mereka terhad kepada perkara-perkara yang bersahaja, tanpa mempedulikan cita-cita rohaniah, akliah dan moral tinggi.


Ada beberapa sifat yang perlu dimiliki demi melahirkan guru yang boleh berfungsi dengan baik: Matlamat dan tujuan terakhir ialah berusaha untuk mendapat keredhaan Allah dalam hidup keduniaan, berbuat jasa dan bakti kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah. Sentiasa ingat kepada matlamat dan tujuan dalam hidup sama ada dari segi jangka panjang atau pendek.


Manusia adalah makhluk bertanggungjawab. Bebanan tanggungjawab dan amanah ini jelas daripada ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya Kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit-bukau, tetapi mereka tidak mahu memikulnya kerana takut kepadaNya dan manusia memikulnya. Ia zalim lagi jahil (apabila menyalahgunakan amanah). (al-Ahzab.72) Terikatnya manusia dengan tanggungjawab dijelaskan dalam ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati dipertanggungjawabkan semuanya. (al-Israk.36) Maka hendaklah sifat bertanggungjawab ini dibentuk dalam diri, sesuai dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan hambaNya.


Sifat hidup dan beramal serta berusaha mengikut aturan dan ketertiban, dan kepentingan hidup mengikut tertib dan aturan berdasarkan ajaran Tuhan dan syariatnya itu, menjadi syarat dan rukun dalam ibadat dan ia sesuatu yang amat dituntut.


Guru mempunyai sifat berkerjasama dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta mesra dalam semua perkara yang baik dan benar, bukannya dalam perkara yang palsu dan salah. Sifat berkerjasama ini adalah satu daripada ciri-ciri orang yang berjaya. Dalam al-Quran ada ayat yang lebih kurang maksudnya: Berkerjasamalah kamu antara satu dengan lain dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu berkerjasama dalam perkara dosa dan perkelahian. (al-Maidah.3)


Dalam alam tabie mesti wujud kerjasama yang mesra dalam bentuk symbiosis. Maka kelihatanlah panorama alam yang harmonis dan indah, penuh dengan faedah dan manfaat. Sifat suka meneliti dan menghisab diri untuk pencapaian yang lebih tinggi perlu ada pada guru, bagi membolehkan mereka menjadi guru yang memberangsangkan.


Dari segi ilmu, mereka hendaklah meneliti, melihat bagaimana ilmu boleh ditingkatkan dengan pembacaan dan penelitian, samada ilmu agama atau kemahiran diri. Pembacaan yang luas dan berguna perlu dilakukan.


Dari segi rohaniah dan akhlak, guru perlu menghitung dirinya mengenai keyakinan dan amalannya serta hubungannya dengan Allah. Demikian juga akhlaknya yang sentiasa perlu ditingkatkan, samada dengan pembacaan atau taubat dan penyesalan terhadap kesilapannya.


Dari segi fizikal dan kemasyarakatan, ia perlu meneliti bagaimana kesihatan badannya yang perlu diberi perhatian supaya tidak merana dan gagal dalam melaksanakan tugas. Sifat meneliti diri demi untuk mencapai tahap yang lebih baik dalam semua kepakaran, apa lagi hubungan dengan Tuhan, adalah sifat yang amat penting. Dengan itu dia akan muncul sebagai guru yang utama.


Sudah tentu guru perlu sedar kemuliaan tugas sebagai guru dan kedudukan mereka, sebagaimana yang diajar dalam sejarah dan ajaran Islam. Dengan itu dia perlu menjaga kemuliaannya. Masyarakat pula perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk memuliakan guru dan menyedarkan guru mengenai kemuliaan mereka. Antaranya:


  • Menyebarluaskan maklumat dan kesedaran mengenai kemuliaan guru dan tugasnya dalam masyarakat melalui majlis ilmu, perbincangan, forum dan seterusnya anjuran persatuan ibubapa dan guru (PIBG) dan sebagainya.
  • Memberi layanan baik dan beradab kepada masyarakat terhadap guru dengan mengenang jasa mereka dalam pendidikan dan dengan mengajar anak-anak supaya memuliakan guru, samada guru yang mengajarkan ilmu syariat atau ilmu yang berfaedah. Selain ilmu syarak, ilmu umum yang berguna menjadi 'jalan' yang boleh membawa ke syurga.
  • Sejarah ulama dan cendikiwan serta guru dalam peradaban Islam hendaklah disebarkan dalam media samada media elektronik atau cetak.
  • Penghormatan kepada guru eloklah diberikan dalam bentuk kurnia yang bernilai dan berharga, bukan sahaja kepada mereka yang berjasa dalam sukan dan sebagainya.
  • Penerbitan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaan mereka dalam sejarah Islam, sejarah rantau ini dan sejarah dunia eloklah dijayakan. Dengan itu jasa guru dan kehormatan mereka disedari.
SEKIAN

Wednesday, October 15, 2008

Kenangan Paling Manis :

Pengalaman mengajar di SMK Taman Dato’ Harun


Hari-hari yang berlalu, kami telah menyelesaikan tugasan kami yang mencabar iaitu dapat berpeluang mengajar di SMK Taman Dato’ Harun. Banyak pahit manis yang kami lalui dalam menyelesaikan tugasan tersebut.


Sebelum kami mengajar, kami terlebih dahulu menyediakan pelbagai maklumat untuk disampaikan kepada murid-murid. Ini misi yang besar dalam kehidupan kami, mendidik anak bangsa, merupakan pengalaman yang sungguh bererti buat kami.


Kami diperkenalkan oleh pensyarah yang dikasihi Ustazah Salina Busrowi yang banyak memberi tunjuk ajar serta bimbingan dalam menempuh bidang perguruan yang bakal menjelma.


Dalam suasana yang panas terik kami bertiga ke SMK Taman Dato' Harun dengan menggunakan kereta kancil pergi ke sekolah tersebut selepas bergegas dari kelas Teknologi dalam Pendidikan Islam di Makmal Komputer API UM. Dalam perjalanan yang mengambil masa 15 minit itu berjaya ditempuhi, dalam perjalanan dapat diperhatikan sekolah tersebut, sebaik sampainya di persimpangan kami tersesat masuk ke kawasan perumahan di sebelah sekolah, kami terpaksa mencari jalan-jalan tikus untuk keluar dari celahan lorong. Sesudah itu, sampai juga di SMK Taman Dato’ Harun, Alhamdulillah....


Sampainya di sekolah kami berjumpa dengan Ustazah Salina yang sudah sampai lebih awal di sekolah. Untuk pengetahuan rakan-rakan hari kami pergi tersebut ialah hari jumaat Sayyidul Ayyam. Sebelum ke sekolah kami menunaikan solat jumaat di masjid yang berdekatan, setelah solat kami terserempak dengan bekas Naib Presiden Keadilan iaitu saudara Mohamad Ezam.


Sebelum mengajar ustazah memberi sedikit taklimat kepada kami berkenaan dengan murid-murid dan kelengkapan yang akan digunakan. Masa pengajaran dimulakan dengan kami menunggu ketibaan anak-anak manja di samping kami menyediakan BBM. Setibanya mereka kami memulakan pengajaran yang dimulakan oleh saudara Mohd Ieruwan, seterusnya Abang Marsal dan kemudian Yusri Maimon.


Dalam hati kami berbunyi " Beginilah aku akan mengajar budak-budak di sekolah nanti apabila aku sudah habis belajar." Kami mengajar tajuk Hidayah Sumber Kejayaan. Pelajar yang kami ajar ini merupakan pelajar-pelajar tingkatan dua, mereka semuanya ok walaupun respon yang diberi kurang memberangsangkan. Apa-apa pun kami berusaha dengan sedaya upaya berinteraksi dengan mereka agar mereka happy go lucky di dalam kelas. Akhirnya mereka memberi respon yang baik dengan pecah suasana kelas dengan gelak ketawa dari gurauan-gurauan yang ditunjukkan oleh kami, kami pun berasa gembira sama sebab murid-murid memberi respon yang positif.


Di samping kami mengajar di dalam kelas mengikut giliran, ada di antara kami yang mengambil gambar untuk kenang-kenangan. Di akhir kelas, kami memberi amanat kepada murid-murid tentang adab-adab sebagai seorang pelajar dan masa depan yang hendak ditempuhi oleh mereka nanti.


Itulah serba sedikit coretan daripada pengalaman kami berada tidak sampai dua jam di SMK Taman Dato’ Harun itu. Pengalaman yang berharga setiap saat yang berlaku dalam diri kita dapat kita ambil sebagai panduan dan pengajaran dalam menempuh liku-liku kehidupan sebagai seorang guru yang boleh menjadikan manusia itu manusia yang sebenarnya.


Hasil nukilan :
e-One ; Abg ; Abe Yus

Memori Indah di SMK Taman Dato' Harun :

Suasana di dalam kelas ketika P&P



Berfoto beramai-ramai tanda kenang-kenangan


Sama seperti di atas


Gambar ketika bersiap sedia untuk mengajar

Bertemu dan berpisah ketentuan Tuhan,
Tapi pastinya ada hikmah di sebalik perpisahan tersebut,
Pertemuan mengundang kemesraan ukhuwah yang terjalin ikatan tali silaturrahim,
Ingin disemai agar subur meninggi mencecah awan,
Di abadikan di akhirat sana.

Salam Kenangan dari kami :
Iewan ; Abg ; Abe Yus

Thursday, October 9, 2008

Al-Quran Panduan Kami




Al-Quran dibaca setiap hari,

Membawa erti kehidupan diri,

Mencari diri tidak terperi,

Itulah erti empunya diri.



Kalam Ilahi penyubur hati,

Hati digilap agar berseri,

Terbuka erti rahsia Ilahi,

Itulah erti makna diri.

" Iewan ~ Abg ~ Abe Yus "

Salam Aidil Fitri...


Salam Lebaran buat tatapan pelawat...

Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin. Pada Bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita merenung dan muhasabah diri kita dengan apa yang kita telah lalui pada bulan Ramadhan el-Mubarak yang lalu. Mudah-mudahan kita semua beroleh keberkatan hidup.

Di samping itu, marilah merafa'kan setinggi-tinggi kepujian dan kesyukuran kita kepada Allah SWT yang Esa kerana memberi kita peluang untuk bernafas dalam mengecapi kegembiraan berhari raya. Kumpulan kami, kumpulan satu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, semoga hari-hari yang mendatang dapat dipenuhi dengan benda-benda yang berfaedah...

" Ilahana Anta Maqsudana Wa Ridhaka Matlubana "

ikhlas dari kami Kumpulan Satu ~Ibnu Sina~